Mesra dengan panggilan Guru, beliau menewaskan penyandang jawatan itu, Ross Church dengan majoriti 2,300 undi apabila memperolehi 8,911 undi sekali gus layak bertugas bagi tempoh satu penggal, bermula tahun ini sehingga 2019.
Menurut laman web Majlis Daerah Kapiti Coast, Church sekadar memperoleh 6,611 undi yang disifatkan oleh media tempatan sebagai keputusan mengejut.
Guru, 63, pernah tewas kepada Church pada 2013, dan merupakan Datuk Bandar ‘etnik’ pertama Kapiti.
Beliau pernah bertugas dengan media Malaysia, bermula sebagai ketua wartawan di The National Echo pada tahun 1983 yang berpangkalan di Pulau Pinang sebelum menjadi penyunting berita di The Rocket dan kemudian menyumbang artikel politik di akhbar New Straits Times.
Guru juga pernah bertugas sebagai editor bersama akhbar The Sun sebelum berhijrah ke Wellington pada 1995 bersama isterinya yang juga warga New Zealand, Claire dan dua anak mereka.
“Mesej utama dalam kempen saya adalah untuk menjadikan Kapiti sebuah daerah yang terbuka, telus dan bertanggungjawab.
Migran dan minoriti bukan satu isu walaupun ada sebahagian daripada pengundi berkata, saya tidak boleh menang jawatan itu,” katanya.
Guru berkata, kemenangan itu juga disebabkan oleh rekodnya sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan selama dua penggal sejak 2010.
“New Zealand sedang mengalami perubahan, terutama di kawasan bandar seperti Auckland yang mana demografik terus berubah dengan ketara disebabkan pendatang baharu, sekali gus memberi peluang kepada perwakilan politik,” katanya.
Beliau berkata, selain kepercayaan masyarakat, sokongan keluarga juga adalah penting. “Berkahwin dengan warga New Zealand juga mungkin banyak membantu. — BH Online