Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kangsar, Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, tindakan mengenang kisah lama hanya merugikan pembangkang dan memberi kelebihan kepada BN.
“Bertanding secara sihat. Tak perlu lagi dendangkan isu lama dan tak perlu menyalahkan antara satu sama lain.
“Kita datang dari parti pembangkang dan kena ingat, fokus utama adalah untuk nafikan pengekalan kuasa BN di Kuala Kangsar,” katanya semalam.
Menurut Ahmad, PRK ini seharusnya digunakan untuk merapatkan ukhwah kepada rakyat dengan melaksanakan kerja-kerja kebajikan apatah lagi ianya diadakan ketika bulan Ramadhan.
“Kita nak PRK ini jadi medan ukhuwah kepada rakyat. Bukan tempat bermusuh, menyerang peribadi calon dan dendangkan perkara yang tidak berkaitan,” katanya.
Ditanya mengenai peluang PAS dalam PRK itu, beliau yakin PAS mampu melakar kejutan dan pada masa sama kegagalan BN dalam urus tadbir negara mencerahkan peluang parti.
“Memang kita tak pernah menang di Kuala Kangsar tetapi berdasarkan senario politik terkini, kita yakin akan lakarkan kejutan.
“Rakyat juga sudah sedar dengan bebanan dan tekanan yang dilakukan BN,” katanya.