Amanah belum putuskan soal PRN Pulau Pinang

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, perkara itu telah dibincangkan di kalangan para pemimpin parti  pada pagi Ahad dan parti itu akan bermesyuarat lagi hari ini di ibu pejabat parti di Selayang untuk membincangkan isu PRN tersebut.

Menurutnya, terdapat banyak agenda dan isu-isu yang perlu dikaji semula sebelum memberikan keputusan mengenai perkara berkenaan.

“Kami terpaksa menangguhkan perbincangan kerana mempunyai banyak perkara untuk dipertimbangkan atau mengambil kira.

“Kami memutuskan untuk melanjutkan mesyuarat sehingga esok dan kami akan memaklumkan apa yang kami persetujui,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Rumah Terbuka Amanah di Sungai Besar, pada Ahad.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Rabu berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang akan memberi masa kepada rakan-rakan DAP dalam Pakatan Harapan untuk berbincang tentang cadangan pilihan raya mengejut di negeri itu.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata DAP dilihat seperti ketandusan pemimpin apabila seolah-olah mahu mengekalkan Guan Eng sebagai ketua menteri Pulau Pinang menerusi rancangan mereka yang berkeras untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu.

Beliau berkata kepimpinan dan anggota DAP yang lain sepatutnya perlu meminta Guan Eng supaya bercuti sehingga kes tersebut selesai, bukannya membuat rancangan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Majlis Bekas-Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor di Kompleks Belia di Seksyen 7 Shah Alam, pada Ahad. – Bernama

Related Articles