Aman Palestin: Tiga Individu Bakal Didakwa Di Mahkamah Hari Ini

by Anis

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki bakal menghadapi lebih 100 tuduhan di mahkamah berkait dakwaan pengubahan wang haram melibatkan hasil penyelewengan dana NGO Aman Palestin, menurut sumber.

Sumber itu berkata tiga individu berusia 40-an hingga 50-an itu ditahan pada 11.30 pagi Rabu, ketika hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya untuk memberi kenyataan.

“Siasatan awal mendapati mereka terlibat dengan perbuatan itu (pengubahan wang) antara 2018 hingga 2023, “ kata sumber itu.

“Ketiga-tiga orang kena tangkap termasuk seorang CEO sebuah syarikat akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada jam 9 pagi esok (hari ini) dengan lebih 100 pertuduhan.”

Sumber itu turut mengesahkan suspek akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Tahun lalu, SPRM membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin dan beberapa syarikat lain dengan nilai keseluruhan RM15.8 juta dalam siasatan salah guna RM70 juta NGO itu.

Siasatan melibatkan dakwaan bahawa Aman Palestin menyalurkan wang dalam syarikat dipersoal.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 27 Feb untuk mendengar permohonan Aman Palestin bagi semakan kehakiman terhadap keputusan SPRM membekukan akaun banknya sehingga siasatan selesai. – FMT

Related Articles