Akta MKN 2016 untuk negara bukan tujuan peribadi – Najib

“Saya telah tegaskan bahawa keputusan yang saya ambil ketika memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 adalah demi keselamatan negara,” katanya dalam catatan terbaharunya di laman Facebook dan Twitter pada Sabtu.

Najib berkata, penegasan sama turut diutarakannya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Cameron Highlands pagi Sabtu.

Pengenalan Akta MKN 2016, kata Najib, adalah bagi melindungi negara daripada sebarang ancaman dan bukannya seperti tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya ia untuk kepentingannya sendiri.

“Ada yang tuduh saya ingin guna kuasa dan Akta ini untuk kepentingan diri.

“Namun rakyat perlu ingat, setiap keputusan yang dibuat kerajaan tidak pernah bersifat peribadi.

“Apa yang lebih penting adalah melindungi rakyat serta kedaulatan negara daripada sebarang ancaman,” kata beliau.

Rang Undang-undang MKN, yang memperuntukkan penubuhan MKN, perisytiharan kawasan keselamatan, kuasa-kuasa khas Pasukan Keselamatan di kawasan keselamatan dan perkara-perkara lain berkaitan, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015, dan Dewan Negara pada 22 Disember 2015.

Ia kemudiannya diwartakan pada 7 Jun lepas dan dikuatkuasakan pada 1 Ogos lalu. – Bernama

Related Articles