KUALA LUMPUR: “Memang saya tidak mahu menjadi hero”, itu jawapan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhammad Akmal Salleh kepada peguam Siti Kasim berhubung isu kalimah Allah pada stoking.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu menegaskan beliau hanya menjalankan tanggungjawab sebagai penganut Islam yang mempertahankan agamanya.
Kata Muhammad Akmal, mereka yang mempunyai keimanan pasti akan terkesan jika agamanya dihina.
“Memang saya tidak mahu menjadi hero. Saya hanya mahu menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim yang terkesan apabila agamanya dihina.
“Setiap orang yang mempunyai iman walaupun senipis kulit bawang pastinya akan terasa apabila agamanya dihina. Kalau tidak terasa tepuk dada tanyalah iman,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Siti Kasim membidas Ketua Pemuda UMNO itu berhubung pendiriannya dalam isu stoking tertera kalimah ‘Allah’.
Peguam itu menegaskan Muhammad Akmal tidak mewakili masyarakat Melayu, sambil mendakwa pendiriannya itu hanyalah berkepentingan politik yang bertujuan meraih sokongan orang Melayu Islam kepada UMNO.
“Maaf Akmal, tetapi awak tentu tidak bercakap untuk saya atau ramai lagi, okay? Kita orang Melayu tidak naif seperti sebelum ini. Sekarang ini, jangan eksploitasi perkara ini untuk memanipulasi sentimen agama dan perkauman untuk politik.
“Saya sudah lama mengatakan ahli politik, sama ada dari Pas atau UMNO, semuanya sama,” katanya menerusi catatan video di akaun Facebooknya.Siti Kasim atau Siti Zabedah Kasim mendakwa Akmal dan ahli politik lain mengeksploitasi isu itu untuk kepentingan politik, memandangkan kontroversi perkauman dan agama sebelum ini gagal mencetuskan kemarahan yang ketara dalam masyarakat Melayu.
“Jadi sekarang, dia beralih fokus kepada perkara ini—kenapa? Kerana dia mahu tampil sebagai pembela agama dan Islam, sedangkan hakikatnya, nampaknya dia hanya mempertahankan kepentingannya sendiri,” tambahnya.
Justeru, Siti Kasim menggesa orang ramai supaya mengelak daripada terlibat dalam kontroversi itu dan membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka.
“Jadi diam okey? Awak bukan hero kepada orang Melayu atau Islam. Kita tunggu polis siasat, mungkin ada sabotaj atau kesilapan yang tulen,” katanya.-MalaysiaGazette