AirAsia dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata ia menerima banyak pertanyaan mengenai artikel yang disiarkan oleh sebuah portal berita tempatan mengenai cukai lapangan terbang yang akan dinaikkan, tetapi syarikat penerbangan tambang rendah itu belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Chief Executive Officer Aireen Omar berkata cukai tinggi itu akan membebankan rakyat, menjadikan penerbangan udara lebih mahal dan menyebabkan penurunan permintaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan semua syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia serta menjejaskan sektor pelancongan, pekerjaan dan juga ekonomi negara.
“Kami berharap kebimbangan pelanggan kami ini tidak berasas, tetapi sekiranya ia benar-benar berlaku, kami sebagai mewakili pelanggan dan rakyat, merayu kepada Kerajaan Malaysia untuk membatalkan kenaikan cukai tersebut,” katanya.
Aireen juga menegaskan Malaysia akan hilang kelebihan daya saingnya sebagai hab kos rendah serantau.
Bagaimanapun, beliau melahirkan keyakinan kerajaan Malaysia dan Mavcom akan mendahulukan kepentingan jangka panjang negara, rakyat dan tanggungjawab mereka, sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia negara yang lebih kukuh dan makmur.
“Kami gembira kerajaan Malaysia menyedari akan perbezaan antara syarikat penerbangan tambang rendah dan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang akan menjadi faktor dalam menimbang cukai yang akan dikenakan,” katanya, memetik laporan mStar Online.