Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang rendah itu menasihatkan penumpang supaya tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum jadual penerbangan AirAsia, dan sekurang-kurangnya empat jam sebelum penerbangan AirAsia X.
Penumpang juga digesa membuat pemeriksaan masuk sendiri menerusi web, perkhidmatan mudah alih atau kiosk untuk perjalanan yang lebih lancar di lapangan terbang.
Ia berkata bagi penumpang yang membawa bagasi untuk didaftar masuk, kaunter bagasi ditutup 60 minit sebelum berlepas bagi kesemua penerbangan AirAsia dan AirAsia X, namun penumpang digalakkan melengkapkan proses masuk bagasi dan terus ke pintu perlepasan seawal mungkin.
Penumpang yang membuat tempahan berkumpulan, kurang upaya atau berkeperluan khas, perlu mendaftar masuk di kaunter, dan datang lebih awal bagi menjalani semua formaliti proses perjalanan masing-masing.
“Setiap penumpang hanya dibenarkan membawa masuk satu bagasi kabin yang tidak melebihi 7kg, dan satu komputer riba atau satu beg tangan, ke dalam kabin pesawat,” katanya. –Bernama