Ahmad Razif berkata, tahap kesihatan Ahli Parlimen Marang itu berada dalam keadaan baik dan ceria sekali gus beliau turut mendoakan semoga Abdul Hadi cepat sembuh.
“Terima kasih juga saya ucapkan kepada pasukan perubatan hospital yang menjaga serta memantau kesihatan beliau.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar beliau akan terus dikurniakan kesihatan yang baik supaya dapat meneruskan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Marang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang. InshaAllah,” katanya menerusi laman Facebook (FB) sambil memuat naik gambar beliau bersama Presiden PAS itu.
Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan menerima pemeriksaan kesihatan di salah sebuah hospital di Terengganu setelah mengadu kepenatan sejak siang pada Jumaat.
Setiausaha Politik Abdul Hadi, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan meminta kerjasama daripada semua pihak agar dapat memberikan ruang rehat secukupnya disamping mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat handai kerana tidak menziarahi pemimpin itu pada waktu ini.
Katanya, PAS amat menghargai keperihatihan semua pihak yang mendoakan kesihatan berpanjangan Abdul Hadi.
Difahamkan, Abdul Hadi dijangka dapat keluar dari hospital dalam sehari dua lagi, memetik Utusan Online.