Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, tindakan segelintir ahli yang kecewa itu mungkin disebabkan mereka tidak lagi mendapat jawatan dalam partii.
“Keputusan itu (sertai PPBM) dibuat mungkin kerana mereka merasakan diri mereka sudah hilang dari radar UMNO.
“Bagi mereka, ini peluang untuk mereka memegang jawatan dan menjadi ketua cawangan semula dengan cara yang lebih mudah iaitu dengan menyertai parti baharu.
“Namun, mereka perlu ingat tugas untuk memimpin bukan mudah, jadi mereka akan rasa sendiri bebanan yang perlu ditanggung selepas ini,” katanya di Alor Setar pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang diviralkan di laman sosial yang mendakwa sebanyak 63 peratus ahli UMNO menyertai PPBM.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Jamuan dan Penyampaian Sumbangan sempena Deepavali 2016 dan menyampaikan sumbangan kepada 700 masyarakat India.
Menurut Ahmad Bashah, pihaknya tidak menafikan terdapat segelintir ahli UMNO melompat parti selepas PPBM ditubuhkan namun menyifatkan jumlahnya bukan seperti yang diviralkan iaitu 63 peratus.
Ditanya mengenai Bajet 2017 yang disifatkan sebagai gula-gula untuk diadakan pilihan raya umum tahun depan, beliau memberitahu, Barisan Nasional negeri memulakan gerak kerja ke arah itu. memetik Utusan Malaysia.