Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan ketika pembentangan bajet 2017

Mereka keluar meninggalkan Dewan setelah Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberi amaran ekoran keengganan mereka untuk duduk yang mencetuskan kekecohan sekaligus mengganggu sesi pembentangan Bajet 2017.

Ketika Najib sedang berucap membentangkan Bajet 2017, mereka menjerit dan melaungkan “MO1” yang merujuk kepada laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), berkait penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka turut menaikkan plakad tertera perkataan “#SiapaMO1”.

“Ahli Yang berhormat, yang sedang berdiri tolong duduk,”kata Pandikar berulang kali kepada pemimpin pembangkang.

“Ini pembentangan bajet. Shah Alam, duduk yang berhormat! Yang Berhormat punya peluang untuk berbahas, bukan dengan cara begini,” kata Pandikar, merujuk kepada ahli Parlimen Shah alam, Khalid Samad.

Pandikar kemudiannya berkata, sekiranya mereka enggan untuk mematuhi arahannya, mereka boleh meninggalkan Dewan, sekaligus menyaksikan tindakan keluar Dewan beramai-ramai ahli Parlimen pembangkang.

Rakaman siaran langsung bagaimanapun tidak dihentikan ketika drama itu berlaku, dan kelihatan di kawasan pembangkang, hanya tinggal beberapa ahli Parlimen PAS termasuk Presiden Parti Warisan (Warisan) Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.

“Saya percaya Yang di-Pertua, rakyat seluruh neara boleh menilai. Namun saya ucapkan terima kasih kepada yang masih ada dalam Dewan,” kata Najib.

Related Articles