Permohonan maaf oleh pemilik blog Sakmongkol AK47 itu dibuat di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam merupakan sabahagian daripada penyelesaian luar mahkamah selepas Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap beliau pada 4 November tahun lalu.
Dalam tulisannya itu, Ariff menyifatkan Ibrahim sebagai ‘tin kosong’ dan ‘bising mulut’ selepas mendakwa ahli Parlimen Pasir Mas itu dilantik sebagai pengarah syarikat George Kent (M) Bhd yang terlibat dalam projek pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT).
“Sesungguhnya kenyataan (artikel) adalah tidak benar. Dengan ini, saya menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada Datuk Ibrahim Ali untuk segala kesan dan akibat yang timbul daripada kenyataan tersebut. Saya kesal dengan kenyataan tersebut,” katanya.
Susulan dakwaan tersebut, Ariff perlu membuat permohonan maaf melalui media dan juga perlu membayar sejumlah wang yang tidak dinyatakan jumlahnya kepada Ibrahim selewat-lewatnya penghujung bulan ini.
Dalam saman fitnah itu, Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah pada bila-bila masa dilantik sebagai pengarah syarikat George Kent dan menyatakan kenyataan defendan mengenai pelantikan itu adalah satu fitnah yang diterbitkan dengan niat jahat.
Presiden PERKASA itu memohon ganti rugi am, khas dan teladan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain injunksi untuk menghentikan Ariff daripada mengeluarkan, menulis, menerbitkan atau menyebarkan apa-apa artikel berunsur fitnah yang serupa terhadapnya.