PUTRAJAYA: Timbalan speaker Dewan Rakyat Ramli Nor mencadangkan kuota 5% diberikan kepada pelajar dari komuniti Orang Asli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara.
Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands, berkata akses kepada pendidikan untuk Orang Asli sudah lama menjadi isu, sejak negara mendapat kemerdekaan daripada British hinggalah sekarang.
“Ketika ini tiada kuota kemasukan anak-anak Orang Asli ke MRSM, jadi saya memohon 5% kuota diperuntukan untuk komuniti ini,” katanya pada sidang media di Kongres Ekonomi Bumiputera 2024.
“Tetapi saya ingin tegaskan, apabila peluang diberi, komuniti ini perlu mengambil peluang ini dan tidak mempersiakannya,” katanya.
Ramli, Orang Asli pertama yang dipilih sebagai Ahli Parlimen dan dilantik sebagai timbalan speaker, berkata komuniti itu juga perlu mengubah pemikiran untuk menjadi lebih progresif.
“Tiada siapa yang boleh lakukan ini kecuali diri kita sendiri, jadi mulakan dengan menghantar anak kita ke sekolah. Kita perlu lebih berpelajaran dan jangan biarkan orang labelkan kita sebagai kumpulan yang hanya bergantung pada subsidi,” katanya.
Sementara itu, Ramli juga mengulangi gesaan bagi meminda perlembagaan berhubung perkara yang berkait dengan komuniti Orang Asli.
“Kamu tak boleh nafikan kami lagi. Kamu sudah lama menafikan kami. Kini adalah peluang kita untuk menukar Perlembagaan kerana kita mempunyai majoriti 2/3.
“Kalau tidak saya akan berjumpa sendiri dengan perdana menteri dan memberitahu kamu gagal menjaga Orang Asli,” katanya.
Ramli sebelum ini mencadangkan Perlembagaan dipinda bagi menyelesaikan isu tanah yang menjejaskan Orang Asli.
Katanya, pada masa ini undang-undang berkaitan Orang Asli dan undang-undang mengawal hal ehwal tanah diletakkan di bawah bidang kuasa berasingan.
Kebajikan Orang Asli berada di bawah Senarai Pertama iaitu undang-undang yang menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan.
Perkara berkaitan tanah adalah sebahagian daripada Senarai Kedua di mana undang-undang ini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. -Free Malaysia Today