KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam, di seluruh negara.
Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong menyeru umat Islam supaya merebut peluang mempertingkatkan amal ibadah dan mengeratkan ukhuwah sesama umat, selain mengetepikan sebarang perselisihan, perbalahan dan perseteruan bersempena bulan Ramadan yang barakah.
Seri Paduka Baginda turut mengajak seluruh umat Islam untuk bersama Baginda bermunajat dan berdoa, semoga Malaysia terus dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada apa jua bentuk ancaman, bencana dan musibah.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada Ahad lepas mengumumkan umat Islam di Malaysia mula berpuasa hari ini. – Bernama