Agong perkenan peletakkan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata perkara itu selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), dan Abu Kassim akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga beliau bersara wajib pada 5 Disember 2020.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang telah banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Dalam tempoh menerajui SPRM sejak 1 Januari 2010, SPRM telah melaksanakan fungsi-fungsinya dengan cemerlang selaras dengan visinya untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ali Hamsa turut mengucapkan tahniah kepada Abu Kassim atas pelantikan beliau sebagai anggota fakulti (pakar jemputan) International Anti-Corruption Academy, Austria, iaitu sebuah institusi pengajian anti-rasuah yang unggul di dunia, di bawah tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Selain itu, beliau juga akan menyumbang pengalaman dan kepakarannya sebagai perunding di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Di peringkat antarabangsa, beliau akan terus memegang jawatan sebagai Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities dan Ahli Board of Governance, International Anti-Corruption Academy, Austria sehingga tamat tempoh pelantikan tersebut,” katanya.

Related Articles