Agong hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 di Istana Negara, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir mengiringi Yang di-Pertuan Agong.

Pada hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 hari ini, majlis disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Isu pertahanan negara disembahkan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Pelantikan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Cadangan-cadangan Rang Undang-undang (RUU) Polis (Pindaan) 2023 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung hal-hal Kewarganegaraan, turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Beberapa perkara lain, yang membabitkan pentadbiran agama Islam dan hal-hal di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) termasuk pelantikan Pengerusi MKI, juga dibincangkan.

Turut berangkat ke mesyuarat hari ini ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim; Perlis oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Pahang oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, tidak hadir ke mesyuarat itu kerana menghadiri Istiadat Penghormatan Negeri bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia semalam.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua Menteri. -Berita Harian

Related Articles