Agenda banteras rasuah diteruskan – Abu Kassim

by SM Amin

Katanya, tempoh perkhidmatan selama enam tahun tujuh bulan sudah cukup lama dan dia berterima kasih kepada semua pihak termasuk pegawai dan kakitangannya kerana sepanjang tempoh itu mereka berjaya menjadikan SPRM kini sebagai antara agensi pencegahan rasuah yang disegani di dunia.

“Terima kasih kepada seorang tokoh yang amat penting dengan menukarkan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) kepada SPRM iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.. terlalu banyak peristiwa yang hendak diceritakan tentang komitmen beliau kepada BPR dan SPRM sehingga menjadi satu agensi yang dihormati dalam negara serta disegani seluruh dunia.

“Terima kasih juga kepada pihak yang ‘berperang’ di Parlimen untuk memastikan Akta SPRM 2009 menjadi nyata dan mempertahankannya satu persatu,” katanya ketika berucap pada pada Majlis Penghargaan Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis itu, Abdullah dan isteri, Tun Jane Abdullah; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Seri Zeti Akhtar Aziz;  Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang serta bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Abu Kassim berkata, selepas ini beliau akan meneruskan perjuangannya membanteras rasuah dengan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang itu sebagai pakar jemputan di Akademi Anti-Korupsi Antarabangsa di Vienna, Austria selain sebagai perunding di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Abu Kassim juga akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020.

Beliau yang memulakan tugas sebagai pegawai penyiasat BPR pada 1984, dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010.

Dalam pada itu, Abu Zahar yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dalam ucapannya berharap pengganti Abu Kassim akan dilantik daripada kalangan ‘orang dalam’ SPRM sendiri.

“Kalau boleh pengganti Ketua Pesuruhjaya adalah dari orang dalam SPRM sendiri, bukannya orang luar. Ini untuk lebih mudah menjalankan tugas kerana sudah tahu selok belok cara kerja SPRM.

“Jika ambil ambil orang luar, ini sedikit sebanyak akan menurunkan moral kepada orang kanan dan bawahan kerana perlu ikut arahan daripada mereka yang tiada pengalaman,” katanya.

Related Articles