Beliau berkata, SMS tersebut diterima dipercayai daripada seorang lelaki yang tidak dikenali.
Menurutnya, sebelum itu nombor telefon tersebut pernah menghubunginya, namun tiada sebarang percakapan antara mereka.
“Sebelum ini nombor itu pernah hubungi saya, apabila saya jawab terdengar suara lelaki namun dia tidak bercakap hanya mengeluarkan suara yang tidak selesa yang saya yakin berunsur seks.
“Namun, pada 5 Julai lalu, nombor itu sekali lagi telefon saya tetapi tidak jawab, hampir 18 misscall saya terima dari nombor itu,” katanya semasa sidang media yang diadakan di Pejabat Adun Rahang, Seremban pada Jumaat.
Turut serta Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong dan Ahli Jawatankuasa Biro Wanita DAP Kebangsaan, Nicole Tan.
Katanya, pada mulanya beliau menganggap tindakan tersebut dilakukan oleh kanak- kanak yang saja mahu mengganggunya.
“Sehinggalah saya menerima beberapa SMS berunsur lucah dari nombor tersebut dan membuatkan saya takut sampai sekarang,” katanya yang kelihatan menangis ketakutan semasa menceritakan mengenai SMS berbaur seks yang diterimanya semasa sidang media tersebut.
Mary yang menjadi wakil rakyat pada 2013 lalu memberitahu, ini adalah kejadian pertama berlaku ke atas dirinya sejak berkecimpung dalam dunia politik.
“Sehingga kini, saya trauma dan takut untuk keluar malam bersendirian kerana bimbang perkara buruk akan berlaku.
“Pemilik nombor telefon itu seolah- olah mengenali dan tahu latar belakang keluarganya berikutan ada menyebut mengenai anak gadisnya dalam SMS tersebut,” katanya.
Tambahnya, disebabkan kejadian itu, beliau telah membuat laporan polis bagi menjamin keselamatan.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti nombor telefon itu dan mengenakan tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Abdul Rahim Daud berkata, kes tersebut masih disiasat dan pihaknya sedang berusaha untuk mengesan suspek yang terlibat. Sinar Harian