ADUN DAP akui bapanya suka timbulkan masalah

Kata Siew Khim, beliau telah berhadapan dengan sikap bapanya yang suka menimbulkan masalah sejak kecil lagi.

“Bagi saya, ia seperti saya makan nasi dan minum air,” katanya dalam satu wawancara video dengan China Press yang dimuat naik di laman webnya.

Bagaimanapun, Siew Khim tidak menyatakan jenis masalah yang dicetuskan oleh bapanya.

Beliau pada mulanya menafikan mengetahui tentang perkara itu tetapi kemudiannya pada Sabtu ‘menjelaskan’ bahawa beliau pernah menerima panggilan daripada seorang ketua pemuda parti politik lain sekitar tahun lalu mengenai isu ini, tetapi bapanya menafikan sebarang penglibatan apabila ditanya.

Beliau membuat penjelasan itu selepas klip video kedua muncul, menunjukkan paparan skrin perbualan Whatsapp antara seorang perantara dan mangsa.

Perantara itu memberitahu mangsa bahawa dia telah menghubungi Siew Khim dan memberikannya tempoh satu hari untuk menjawab dan meminta bapanya memulangkan semula wang.

Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong sebelum ini mendedahkan klip video yang memaparkan rakaman perbincangan mengenai pembayaran untuk mendapatkan rumah kerajaan negeri.

Tong Keong berkata, isi kandungan perbualan dalam video itu menunjukkan ia dirakamkan tahun lepas dan bapa ADUN berkenaan dilihat bersama-sama orang tengah sedang melayan aduan daripada seseorang yang dipercayai telah membuat pembayaran namun tidak mendapat rumah itu.

Susulan daripada itu, SPRM memulakan penyiasatan terhadap urusan dikenali sebagai ‘rasuah untuk rumah’ bagi mendapatkan rumah mampu milik yang didakwa melibatkan bapa seorang ADUN Pulau Pinang.

Related Articles