Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berkata Yeoh sepatutnya membenarkan usul bagi menggesa pendengaran awam segera dilakukan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) di DUN untuk menjawab kekeliruan berhubung penstrukturan industri air di Selangor.
“Ketika sebahagian rakyat Selangor gelisah dengan senario bekalan air bersih tidak menentu dan kerap terputus, rakyat Selangor dikejutkan pula dengan nilai yang mencecah RM2.975 bilion untuk mengambil alih konsesi air terakhir iaitu Splash oleh kerajaan negeri bagi memuktamadkan hal ehwal penstrukturan industri air Selangor.
“Bagaimanapun, bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri semasa pentadbirannya sebelum ini tidak pernah menyembunyikan nilai tawaran kepada Splash yang sebenarnya hanya berjumlah RM250.7 juta untuk ekuiti selain menanggung beban hutang syarikat itu sebanyak RM1.56 bilion,” katanya, memetik mStar Online.
Mohd Shamsudin berkata demikian ketika mengulas tindakan Yeoh menolak usul yang dikemukakan ADUN BN Selangor semalam atas alasan notis usul itu adalah kepada setiausaha DUN dan bukan kepadanya.
Yeoh juga berkata usul itu tidak perlu disegerakan berikutan usaha pengambilalihan Splash masih dalam perbicangan antara Kerajaan Selangor dan Persekutuan selain Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberikan penjelasan panjang lebar mengenai isu itu dalam sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017.
Mohd Shamsudin berkata jika benar nilai tawaran itu mencecah RM2.975 bilion, apakah keistimewaan SPLASH bagi kerajaan negeri atau Mohamed Azmin sendiri sehingga diberi tempoh penyelesaian yang lama selain menikmati tawaran begitu tinggi berbanding syarikat konsesi lain seperti Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Kosortium Abass Sdn Bhd dan Puncak Niaga Holdings Bhd.
“Kerajaan Negeri wujudkan SELCAT sebagai wadah ketelusan maka, eloklah perkara ini dijelaskan. Jika tidak, kerajaan negeri seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu di sebalik perkara itu yang akhirnya rakyat mungkin terpaksa menanggung kesannya,” kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, kesemua ADUN BN menggesa penyelesaian segera, profesional dan telus oleh pihak kerajaan negeri atas prinsip integriti dan kebertanggungjawaban.