Adu penerima BR1M kepada SPRM, cabar UMNO kepada Tun M

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Mahathir yang mengatakan BR1M yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat sebagai satu bentuk rasuah.

Ismail Sabri yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut berkata bahawa bekas perdana menteri tersebut akhir-akhir ini semakin mengarut, termasuk melibatkan dakwaan terhadap BR1M.

Menurut Ismail dengan pelbagai penjelasan diberikan kerajaan mengenai bantuan berkenaan Dr Mahathir tetap menganggap BR1M sebagai rasuah.

Susulan dakwaan Mahathir itu, Ismail meminta dakwaan berkenaan diadukan secara rasmi kepada SPRM bagi memberikan peluang kepada agensi terbabit menjalankan siasatan mereka dengan sepenuhnya.

“Kalau betul-betul (anggap) rasuah, saya harap Dr Mahathir buat laporan secara rasmi kepada SPRM bahawa penerima-penerima BR1M adalah penerima rasuah.

“Jadi apabila SPRM siasat, mereka akan tangkap semua kalau boleh.

“Rasuah itu bukan saja pemberi yang bersalah. Penerima pun salah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan hari pertama sesi baru persekolahan di Tabika Kemas Bandar Baru Salak Tinggi.

Sebelum ini Dr Mahathir dilaporkan memberitahu rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M adalah rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Beliau yang kini berseteru dengan kerajaan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Ismail berkata kenyataan Dr Mahathir itu kedengaran sungguh terdesak, malah boleh diumpamakan seperti menghina penerima bantuan berkenaan.

Related Articles