Adil terhadap pendidikan berbilang kaum

by SM Amin

Pada setiap tahun, kerajaan memperuntukkan kewangan kepada semua jabatan kerajaan. Dalam Bajet 2016, kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada 800 buah SJKC di seluruh negara. Namun SJKC masih belum menerima peruntukan tersebut sehingga akhir Disember ini. Sebelum ini Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid meminta pihak SJKC supaya menerima “apa yang ada”, tetapi Menteri Kewangan II, Johari Ghani pula menyatakan peruntukan tersebut telah disalurkan kepada Kementerian Pendidikan. Percanggahan kenyataan antara kedua-kedua kementerian amat mendukacitakan masyarakat Cina.

Bagi mendapatkan peruntukan tersebut, masyarakat Cina dan pihak sekolah meminta pemimpin politik kaum Cina supaya menemui PM bagi menyelesaikan perkara tersebut. Ini menunjukkan Kementerian Pendidikan masih mempunyai “Napoleon kecil” yang cuba menimbulkan kekeliruan berhubung peruntukan kewangan SJKC.

Sejajar dengan itu, Menteri di JPM, Wee Ka Siong telah mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan akan menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada 800 buah SJKC dalam tempoh dua minggu lagi. Sungguhpun pemberian peruntukan tersebut memerlukan sedikit masa, namun pengumuman tersebut sekurang-kurangnya telah melegakan pihak sekolah dan masyarakat Cina.

Pengurangan peruntukan bagi SJKC tidak sepatutnya berlaku lagi. Kementerian Pendidikan perlu menyalurkan peruntukan kepada sekolah pelbagai aliran seperti yang ditetapkan dalam Bajet. Masyarakat Cina berpendapat “biar miskin harta, tetapi jangan miskin pendidikan”. Oleh itu, kebanyakan masyarakat Cina amat memerlukan bantuan pendidikan untuk memperbaiki infrastruktur dan peralatan sekolah supaya murid-murid dapat belajar dengan lebih selesa.

Dalam negara berbilang kaum, pendidikan berbilang kaum patut mendapat keadilan. Kementerian Pendidikan bertanggungjawab memberi keadilan dan meletakkan kedudukan sama rata bagi setiap sekolah termasuk sekolah pelbagai aliran. Kita tidak mahu SJKC menjadi bola yang boleh disepak dan ditendang ke mana-mana sahaja. Kita juga tidak mahu faktor manusia menyebabkan kemajuan pendidikan di negara ini tersekat dan terbantut. – China Press

Related Articles