Adakan gotong royong di Selangor perlu kebenaran kerajaan negeri?

Arahan berkenaan dikeluarkan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad melalui satu surat yang diberikan kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain.

Surat berkenaan yang bertarikh 26 Ogos itu ‘melarang’ KPKT untuk menjalankan gotong royong di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 tanpa kebenaran kerajaan negeri Selangor.

“Seperti yang telah dibincangkan, pagi tadi PPR tersebut belum lagi diserahkan kepada kementerian kerana surat permohonan dari mereka hanya di terima oleh YB Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 17 Ogos.

“Oleh yang demikian, sebarang program di PPR tersebut oleh kementerian perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri,” memetik surat tersebut.

Menurut surat berkenaan, keputusan berkenaan dicapai adalah dari hasil mesyuarat bersama Jabatan Penilaian dan Jabatan Jurutera Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Gotong royong yang dirancang untuk diadakan di PPR Lembah Subang 1 itu dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Ogos ini.

Berdasarkan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tiada sebarang peruntukan mahupun enakmen yang menyatakan bahawa aktiviti gotong royong perlu mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri.

Malah, gotong royong juga tidak termaktub atupun disebut di dalam Akta Kerajaan Tempatan 171 di bawah Seksyen 9 (1).

Related Articles