Adakah Speaker Selangor hendak kawal ucapan Ketua Pembangkang?

by SM Amin

Kata Sulaiman, tindakan Hannah untuk mengadakan slot khas ucapan Ketua Pembangkang Selangor dengan meletakkan syarat-syarat yang disifatkannya pelik adalah tidak wajar.

“Mesti hantar ucapan dua hari sebelum persidangan. Apa maksudnya? Speaker boleh tidak bersetuju dengan ucapan itu.

“Kemudian 1,000 patah perkataan sahaja sedangkan Ketua Pembangkang di Parlimen boleh bercakap tanpa had. Kena pertimbangkan balik cadangan itu,” tegasnya ketika ditemui pemberita di lobi DUN Selangor, Shah Alam di sini.

Hannah pada Isnin mengedarkan notis cadangan pindaan kepada Peraturan-peraturan Tetap termasuk memberi ruang kepada Ketua Pembangkang untuk berucap tanpa perlu budi bicara Speaker.

Bagaimana kata Hannah, Ketua Pembangkang perlu memberikan teks ucapan yang tidak melebihi 1,000 patah perkataan tersebut dua hari sebelum sidang DUN bermula.

Mengulas lanjut perkara itu, Sulaiman menegaskan cadangan pindaan itu dilakukan dengan cara yang salah kerana jawatan Ketua Pembangkang tidak wujud dan tidak ada dalam enakmen.

“Jadi pada saya kalau Speaker nak buat peraturan baru kena jelaskan jawatan Ketua Pembangkang kena wujud sama ada dalam Undang-undang Tubuh Negeri, pindaan atau Peraturan Tetap, barulah hendak buat pindaan ucapan Ketua Pembangkang.

“Sekarang kita letak peraturan sedangkan jawatan itu tidak wujud. Bagaimana hendak beri tanggungjawab?,” soalnya.

Tambah Sulaiman Barisan Nasional tidak mempunyai sebarang masalah untuk melantik Ketua Pembangkang sekiranya ianya sudah termaktub dalam peraturan.

“Kalau dah jadi peraturan, kita akan lantik orang bagi jawatan itu,” ujarnya.

Related Articles