Menurut Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, tindakan kerajaan negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Teknologi dan Inovasi Negeri menganjurkan Seminar Pemikiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penglibatan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) jelas bertentangan dengan titah Sultan Selangor.
“Penganjuran Seminar Pemikiran Datuk Seri Anwar itu jelas sekali merupakan program politik dan mungkin menggunakan wang rakyat.
“Malah penganjuran seminar itu seolah-olah menunjukkan pihak penganjur cuba mencabar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini menitahkan supaya institusi-insititusi agama Islam di Selangor tidak terlibat dalam program yang berunsurkan politik.
“Apakah pihak penganjur sanggup mengenepikan titah Sultan Selangor demi kerana mahu menjaga kedudukan serta imej Anwar yang merupakan Penasihat Umum PKR dan sedang menjalani hukuman penjara diatas kesalahan meliwat,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang menyokong penuh tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang penglibatan para pegawai JAIS dalam seminar tersebut yang dijadualkan berlangsung 28 November ini.
Menurut beliau, langkah MAIS itu jelas menunjukkan bahawa institusi Islam tidak seharusnya diperalatkan oleh mana-mana pihak untuk kepentingan politik mana-mana parti termasuklah PKR yang mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.
“Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Teknologi dan Inovasi Negeri sepatutnya tidak ‘rabun’ membezakan di antara program kerajaan negeri dengan program politik.
“Selain itu, kita juga menuntut supaya JAIS mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang terlibat berdasarkan syarat-syarat perkhidmatan awam kerana menandatangani surat jemputan kepada para guru-guru agama supaya menghadiri seminar tersebut yang difahamkan dibuat tanpa kelulusan pihak pengurusan dan makluman kepada Pengarah JAIS,” katanya lagi.
Sebelum ini, JAIS meminta perkara itu tidak diputar belit tanpa usul periksa memandangkan ia sebenarnya dianjurkan kerajaan negeri bawah seliaan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Walaupun mengakui menerima arahan supaya menjemput guru-guru bawah seliaannya, pengarahnya JAIS Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya tidak mewajibkan kehadiran kepada pegawai-pegawainya.
Berdasarkan surat 21 November lalu, JAIS mengundang guru sekolah rendah agama (SRA) serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain di daerah Petaling dan Klang ke seminar yang bakal diadakan di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 28 November.