Naib Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian dan meminta semua pemimpin di kawasan terbabit untuk menilai semula kelemahan dan bermuhasabah di atas kegagalan tersebut.
“Shah Alam sebuah perkampungan dan kawasan perladangan sebelum ini menjadi kawasan yang dipanggil bandar raya sekarang. Semakin maju sesuatu kawasan itu, semakin kalah kita.
“Sudahlah kawasan yang diduduki orang Cina, memang tidak pernah dimenangi oleh pemimpin Melayu. Ini sudah tentu kawasan Melayu, kalah juga Umno. ‘Something wrong somewhere’,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam hari ini.
Memetik laporan Sinar Harian Onlie, Zahid menyeru semua pimpinan untuk bekerja keras bagi merampas semula kawasan parlimen Shah Alam pada pilihan raya umum akan datang.
Kawasan Shah Alam untuk dua penggal kebelakangan ini dipegang oleh Ahli Parlimennya, Khalid Abdul Samad.
Menurut Zahid, kekalahan di Shah Alam adalah disebabkan kurangnya sikap ambil peduli terhadap penduduk di sekitar kawasan itu.
“Sebab apa? Kita kurang mengambil peduli. Bukan salah kepimpinan dulu, bukan salah kepimpinan sebelum-sebelum itu. Sebab nilai telah berubah. Oleh sebab itu, kita harus ubah kaedah pendekatan kita. Kita jangan mudah menyalahkan orang lain. Perkhidmatan berbeza mengikut lokasi dan situasi,” katanya lagi.
“Dari segi infrastruktur, kawasan bandar pelbagai peruntukan kita curahkan. Kemudahan sosial di bandar dicurahkan segala-galanya tanpa melupakan yang di luar bandar. Kemudahan telekomunikasi dan struktur yang lain…(diberikan) kawasan bandar tapi apa harga yang dibayar oleh kerajaan? Kita kehilangan kerusi-kerusi di kawasan bandar.
“Kenapa ini berlaku? Adakah salah kerajaan memberikan peruntukan yang banyak? Adakah kesalahan kepimpinan Umno yang mengambil kepedulian tetapi tidak dapat dirasa oleh kumpulan sasaran? Adakah salah masyarakat yang terdedah dengan sistem komunikasi dengan langit terbuka dan langit tanpa sempadan?
“Kita tetap salahkan orang lain. Muhasabahlah. Kita bertanggungjawab dalam keadaan apa pun membetulkan keadaan terutama kita dlm Umno, BN orang tetap salahkan kita. maka kita kena bangkit memperbetulkan keadaan itu. Ambillah kepedulian kepada masyarakat keseluruhan,” katanya.
Beliau juga berpesan agar pemimpin hari ini tetap merendah diri tidak mendabik dada apabila mendapat jawatan.
“Ini sebelum ada jawatan, rumah kecil. Sudah ada jawatan, tukar rumah besar. Dulu kereta kecil, sudah ada jawatan, tukar kereta besar. Ini perubahan yang dipanggil ‘vertical mobiliti’.
“Cukuplah…orang kenal dulu kita siapa. Jangan ubah sikap, jangan ubah cara di mana pun kita duduk, itulah cara kita. Kita hendaklah menjadi padi, makin tunduk bila berisi. Bagi orang sayang pada kita,” katanya.