KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan membatal 16 kesalahan Kanun Jenayah Syariah Kelantan hari ini cuba dijadikan bahan politik pembangkang untuk memburukkan Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sedangkan keputusan itu berdasarkan bidang kuasa negara di bawah Perlembagaan Negara.
“Dia (pembangkang) tahu tapi nak gunakan sentimen supaya orang Islam merasakan kerajaan pimpinan Anwar ini memang menentang (hukum) syariah.
“Padahal tidak kena mengena dengan kita. Undang-undang negeri Kelantan, yang cabar orang Kelantan, kebetulan (dicabar) ahli Muafakat Nasional,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mahkamah Persekutuan dalam keputusan hari ini memutuskan 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Keputusan itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.
Terdahulu, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.
Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, individu yang memfailkan petisyen itu kebetulan adalah ahli Muafakat Nasional (MN) dan agak menghairankan mengapa ia tidak dibantah ketika kerajaan terdahulu.
“Apa yang dilakukan kerajaan terdahulu (Perikatan Nasional), dia tak bantah, ini berlaku semasa zaman mereka tahun 2020 dan 2021 (tapi) tidak dibantah.
“Sekarang dibantah (dan) dijadikan bahan politik,” katanya. – MalaysiaGazette