Ketua Penerangan UMNO dan BN itu berkata, berdasarkan situasi politik tanah air dengan penubuhan parti baharu, tidak mustahil BN akan membentuk pakatan dengan parti lain.
“Berikan kami sedikit masa untuk mencari kesimbangan dan pakatan baharu ini akan terbentuk sebelum PRU.
“Akan ada kejutan yang menggoncang jantung,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC) pada Isnin.
Menyifatkan situsasi berkenaan sebagai normal, Annuar berkata, Umno dan BN telah mencapai kesimbangan apabila menyelesaikan isu antara parti dan kini mencari keseimbangan antara parti kerajaan dan pembangkang.
“Kesimbangan ini akan mengambil masa sedikit kerana ada parti yang mahu membentuk pakatan baharu seperti blok ketiga.
“Blok ketiga tidak pasti lagi sama ada ke kiri (pembangkang) atau kanan (kerajaan). Siapa tahu mungkin PAS akan bekerjasama dengan BN.
“Atau mana tahu Tun Mahathir jadi ketua baharu (pembangkang) dan Anwar Ibrahim mahu bekerjasama dengan Najib (Tun Razak).
“Jangan ketepikan kemungkinan itu kerana dalam politik tiada yang mustahil,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata, bagi memperkemaskan jentera parti menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU), parti mencapai persetujuan untuk menukar gerak kerja daripada bertahan kepada serangan.
Jelasnya, pelaksanaan strategi baharu itu melibatkan siri jelajah di setiap negeri bermula 7 Oktober ini.
Berbanding memberi tumpuan sepenuhnya menggalas tugas kerajaan, Annuar berkata, sudah tiba masanya Umno dan BN berada di barisan hadapan iaitu di peringkat akar umbi.
“Kita mahu mendekati rakyat untuk memperbetulkan persepsi negatif yang ditujukan terhadap kerajaan dan parti.
“Jadi saya menyeru semua peringkat UMNO untuk bangkit menyahut cabaran ini,” katanya.
Mengulas tentang isu persempadanan semula yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Annuar berkata, UMNO juga tidak sebulat suara menyokong usul berkenaan dan memberi pilihan kepada semua ahli parti untuk membuat bantahan.
Tambahnya, tuduhan pembangkang bahawa UMNO memainkan peranan dalam isu persempadanan semula adalah tidak berasas.
“Umno dan pembangkang berdepan situasi yang sama kerana ada antara ahli parti yang tidak bersetuju dengan cadangan SPR itu.
“Malah Majlis Tertinggi UMNO membenarkan mana-mana ahli untuk mengemukakan bantahan secara berkumpulan atau individu mengikut saluran yang betul kepada SPR,” ujarnya memetik laporan mStar Online.