Abu Sayyaf raih RM30.5 juta hasil penculikan

Berdasarkan laporan media, wang itu diperoleh hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sebahagian besar daripada RM30.5 juta itu merupakan wang tebusan bagi pembebasan 14 tebusan Indonesia dan empat rakyat Malaysia.

Difahamkan, kumpulan itu mendapat RM1.7 juta bagi membebaskan Marites Flor, wanita Filipina yang diculik bersama dua lelaki Kanada dan seorang lelaki Norway dari resort di Pulau Samal, tahun lalu.

Terdahulu, Rodrigo Duterte yang menjadi Presiden Filipina Jun lalu telah mengarahkan operasi tentera secara besar-besaran bagi menghapuskan kumpulan Abu Sayyaf.

Dilaporkan polis Filipina berjaya mengurangkan jumlah anggota Abu Sayyaf kepada 481 orang berbanding 506 sebelum ini, namun kumpulan itu masih mampu melakukan 32 serangan bom bagi mengganggu operasi tentera.

“Abu Sayyaf kini mensasarkan bot tunda asing untuk menculik anak kapalnya berikutan operasi ketenteraan terhadap mereka.

“Mereka dijangka meningkatkan penculikan di kawasan sibuk perairan di selatan Filipina, Malaysia dan Indonesia. Wang tebusan yang dibayar kepada Abu Sayyaf membolehkan kumpulan itu membeli senjata dan peluru,” katanya. – Agensi

Related Articles