AADK tunggu keputusan kerajaan berhubung penanaman ketum

Pemangku Ketua Pengarahnya, Datuk Azizan Ariffin berkata cadangan berkenaan masih di peringkat awal dan ia perlu mengambil kira pelbagai aspek terutama impaknya dalam usaha pencegahan penyalahgunaan dadah melibatkan daun ketum dalam kalangan anak muda dan pelajar sekolah di beberapa negeri di utara tanah air.

“Kita tunggu dahulu keputusan selepas pertemuan kerajaan dengan RISDA yang djangka diadakan bagi mengemukakan cadangan berkenaan. Lagipun tiada kajian saintifik yang menyatakan air ketum boleh dijadikan ubat tradisional.

“Kita juga telah menggunakan dadah sedia ada antaranya heroin dalam bidang perubatan dan penggunaan daun ketum setakat ini tidak perlu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Melaka semalam.

Turut hadir Pengarah (Pencegahan) AADK Abdul Rahman Hamid dan Pengarah AADK Melaka Mohamad Yusof Kameh.

RISDA sebelum ini dilaporkan bercadang ingin mendapatkan kebenaran kerajaan untuk melaksanakan projek penanaman daun ketum secara berskala besar bagi memenuhi industri farmaseutikal dari negara luar.

Mengulas lanjut, Azizan berkata terdapat kes kanak-kanak sekolah dikesan terlibat dalam pengambilan air ketum seawal umur tujuh tahun dan membawanya ke sekolah terutama di Kedah dan Perlis.

Beliau berkata cadangan RISDA untuk mengusahakannya secara komersial dilihat akan menyebabkan bekalan daun ketum mudah didapati dan tidak mustahil ia menjadi budaya dalam kalangan generasi muda.

“Kerajaan akan menanggung kerugian yang sangat tinggi bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah sekiranya cadangan itu diluluskan selain usaha membanteras dadah terbantut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya sedang berusaha melakukan penambahbaikan pindaan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 yang turut memperuntukkan penyenaraian daun ketum sebagai dadah berbahaya.

“Kita telah cuba bawa isu ketum ini di peringkat Parlimen tetapi masih gagal namun usaha ini akan terus dilakukan sehingga daun ketum disenaraikan sebagai dadah berbahaya,” katanya.– Bernama

Related Articles