Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keutamaan pertukaran diberi kepada guru-guru yang tinggal berjauhan dengan pasangan masing-masing melebihi tujuh tahun.
“Kementerian sentiasa prihatin dengan masalah guru yang tinggal berjauhan dengan pasangan. Setiap tahun kita menerima permohonan dan akan menelitinya sebelum membuat keputusan untuk menyatukan pasangan guru ini di negeri yang sama,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis makan malam meraikan kepimpinan akar umbi peringkat Parlimen Batu yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Yahaya Mat Ghani .
Dalam majlis berkenaan kira-kira 600 pemimpin akar umbi Parlimen tersebut diraikan.
Sementara itu, Mahdzir berkata, kementerian akan mengutamakan permohonan bagi pasangan guru yang berkhidmat melebihi tujuh tahun.
“Kebiasaannya guru yang berusia dalam lingkungan umur 30-an yang paling ramai memohon untuk pertukaran terutama selepas berkahwin dan memiliki anak,” ujarnya memetik Utusan Online.