POKOK SENA: Penantian seorang buruh binaan untuk memiliki dokumen pengenalan diri sah, berakhir apabila permohonannya diluluskan dan diberikan sijil kewarganegaraan, semalam.
Muhammad Ramadan Abdullah, 21, berasal dari Alor Setar melahirkan rasa syukur dan gembira, apabila dia kini memiliki dokumen pengenalan diri sah, yang akan memudahkan kehidupannya selepas ini.
“Sebelum ini memang tidak ada dokumen pengenalan, kalau nak bawa motosikal saya selalu berhati-hati untuk mengelak sekatan jalan raya, rasa takut juga kalau ditahan sebab lesen semua tak ada.
“Kemudian bila dapat tahu permohonan diluluskan saya sangat-sangat gembira, mudah sikit lepas ni nak buat lesen memandu dan urusan lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), malam tadi.
Program disempurnakan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, yang turut menyerahkan sijil kewarganegaraan dan surat keputusan kewarganegaraan kepada 12 penerima, melibatkan permohonan bawah Perkara 15A dan Perkara 15(1), Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, ibu saudara Ramadan Solehah Wan Shafie, 48, berkata dia membuat permohonan sijil kewarganegaraan bagi anak saudaranya itu sejak 2016, namun tiada jawapan sebelum membuat permohonan semula tahun lalu.
“Ramadan tidak ada dokumen sejak lahir, cuma ada sijil anak angkat sebab dia tinggal dengan saya. Jadi Alhamdulillah dia boleh sekolah dari sekolah rendah sampai menengah dan dapat ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Solehah berkata, dengan adanya sijil kewarganegaraan itu, anak saudaranya kini boleh memohon mendapatkan MyKad, yang merupakan dokumen penting untuknya menjalani kehidupan seharian selepas ini.
JPN dalam kenyataan memaklumkan bagi tempoh Januari tahun ini hingga 15 Mac, sebanyak 441 program Mekar dilaksanakan di seluruh negara dengan 10,842 urus niaga berjaya diproses. -Bernama