8 cedera ringan letupan di Mid Valley

 
Menurut jurucakap pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan dan orang ramai di lokasi kejadian membantu menghantar mereka ke hospital.
 
“Kami menerima panggilan dan sebuah jentera bersama sepuluh anggota bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian.
 
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati benar berlakunya runtuhan syiling di dalam dua buah restoran berkembar di tingkat bawah,” kata kenyataan itu.
 
Jurucakap itu berkata penemuan awal menunjukkan kemungkinan berlaku kebocoran gas.
 
Memetik kenyataan laman media Twitter Bomba, dua mangsa melecur manakala enam lagi mengalami cedera ringan dan kini sedang dirawat di hospital.
 
Pusat membeli-belah itu dalam kenyataannya mengesahkan insiden itu berlaku pagi ini yang berpunca selepas kerja-kerja memasukkan semula gas petroleum cecair (LPG) di lakukan di lokasi itu.
 
“Berlaku letupan kecil di dua kedai makanan dan minuman. Terdapat kecederaan kecil kepada kakitangan penyelenggaraan, kontraktor LPG dan kakitangan penyewa.
 
“Rawatan perubatan sudah diberikan dan tiada kematian serta orang awam tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata kenyataan itu.
 
Mid Valley juga akan terus dibuka kepada pengunjung dan berjanji untuk memaklumkan kepada pengunjungnya berhubung sebarang perkembangan.

Related Articles