Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, jumlah itu mewakili 70 peratus daripada keseluruhan satu juta unit rumah yang dijanji disediakan sebelum 2018 oleh kerajaan Barisan Nasional dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2013.
Beliau berkata, rumah-rumah berkenaan disediakan kerajaan melalui projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia(PPA1M), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selain kerajaan negeri.
“Kita dah agih dengan PR1MA 500,000 unit, SPNB 100,000 unit, PPA1M 100,000 unit, KPKT 60,000 unit dan kerajaan negeri 120,000 unit.
“Bagi kementerian, daripada kuota 60,000 unit itu, sekarang tinggal 6,800 unit lagi. Berdasarkan laporan, PPA1M pun sudah capai kuota, SPNB pun hampir mencapai kuota manakala PR1MA sudah hampir 50 peratus (capai kuota),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia di ibu negara pada Sabtu.
Beliau berkata, berdasarkan definisi Majlis Perumahan Negara, rumah mampu milik adalah yang berharga RM300,000 dan ke bawah seunit.
Dalam pada itu, Noh berharap satu mekanisme baharu dapat diwujudkan institusi kewangan dalam mengatasi masalah pembiayaan akhir bagi pinjaman perumahan, yang menyebabkan banyak rumah mampu milik tidak terjual.
“Saya cadangkan REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia) dan bank berbincang untuk memperkenalkan skim-skim bagi mengatasi masalah pembiayaan akhir,” katanya.
Menurutnya, laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta menunjukkan kira-kira 11,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sudah siap tetapi tidak terjual.
Mengulas lanjut mengenai projek pembangunan 10,000 unit pangsapuri untuk disewakan di kawasan bandar, Noh berkata sebanyak 8,000 unit projek itu, yang dikenali sebagai Projek Pangsapuri Studio Transit Belia, akan dibina mulai tahun depan.
“Ia akan disewakan kepada golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan pada kadar yang lebih murah berbanding harga pasaran tetapi mereka hanya dibenarkan menyewa unit itu sehingga lima tahun sahaja,” katanya.
Ditanya mengenai pengambilalihan Projek Perumahan Rakyat (PPR) negeri Selangor, Noh berkata rundingan dengan kerajaan negeri telah diadakan dan beliau yakin KPKT mampu mentransformasikan PPR di Selangor berikutan peruntukan dalam Bajet 2017.
“Ini khususnya PPR Lembah Subang 1…rumah pertama yang saya tengok agak ketinggalan jadi, kita kena transformasi dengan syarat kerajaan negeri serahkan kepada kita,” katanya. – Bernama