6 lagi adik beradik di Kedah turut disyaki dijangkiti difteria

Beliau berkata tujuh beradik dari Kuala Muda itu dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani Selasa lalu. Masing-masing berumur 10 bulan, dua tahun, tiga tahun, empat tahun, lapan tahun, 10 tahun dan 11 tahun.

Bagaimanapun, katanya, kanak-kanak lelaki berumur dua tahun itu meninggal dunia semalam setelah dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Dua kes melibatkan kanak-kanak berumur dua tahun dan bayi berusia 10 bulan dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar. Bagaimanapun kanak-kanak berusia dua tahun meninggal dunia pada 22 Jun (Rabu),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya daripada tujuh kes tersebut, empat daripada mereka iaitu yang berumur 10 bulan, dua tahun (yang telah meninggal dunia), tiga tahun dan empat tahun didapati tidak mendapat pelalian difteria.

Dr Norhizan berkata satu lagi kes membabitkan seorang kanak-kanak warganegara asing berusia enam tahun dari Taman Nilam, Langkawi yang turut disyaki dijangkiti difteria sedang dirawat di HSB dan berada dalam keadaan stabil.

Kesemua kes tersebut, katanya masih menunggu laporan makmal daripada Institut Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur.

Difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae. Ia tersebar melalui titisan cecair pernafasan. Bakteria ini menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas. – Bernama

Related Articles