46 PATI termasuk 2 kanak-kanak ditahan

Dalam serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua bermula pukul 9 malam tadi di sebuah hutan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, seorang tekong darat Indonesia berusia 42 tahun turut ditahan.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, kesemua PATI itu ditahan semasa sedang menunggu bot pancung dipercayai untuk pulang ke Indonesia melalui jalan tidak diwartakan.

“Dalam serbuan pukul 9 malam menerusi Op Landai, kita menahan 16 lelaki termasuk seorang tekong darat sebelum setengah jam kemudian, seramai 11 lelaki lagi ditahan dalam lingkungan 200 meter dari lokasi serbuan pertama.

“Semasa serbuan ketiga pada 10.30 malam di lokasi berhampiran, 15 lelaki, empat wanita dan dua kanak-kanak masing-masing seorang lelaki dan perempuan pula berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kesemua PATI yang berusia antara enam hingga 50 tahun itu kini ditahan di dua lokap berasingan masing-masing seramai 32 orang di Ibu Pejabag Polis Daerah Kota Tinggi dan 15 orang di Balai Polis Bandar Penawar.

Beliau berkata, mereka ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63, memetik laporan Kosmo Online.

Related Articles