Menurutnya hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lepas juga mendapati hampir 31% pula mengalami masalah berat badan berlebihan.
“Antara puncanya ialah ketidakseimbangan antara pengambilan tenaga atau kalori dalam makanan dengan aktiviti fizikal yang dilakukan dan sekiranya kalori diambil berlebihan atau tidak digunakan untuk melakukan aktiviti fizikal, masalah obesiti akan berlaku.
“Oleh itu, kesedaran tentang pengambilan kalori amat penting supaya masyarakat akan lebih berhati-hati dalam hal pemakanan,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang semalam.
Beliau berkata isu kesihatan tanggungjawab bersama untuk diatasi dan bukan hanya bergantung kepada Jabatan Kesihatan, hospital ataupun klinik.
“Kesedaran kita bagi menjaga diri adalah lebih utama dan berkesan bagi menjamin kualiti hidup yang lebih baik. Jabatan Kesihatan hanya mampu memberi rawatan dan pendidikan, namun kita sendiri yang memilih untuk mengawal cara hidup kita agar lebih sihat atau tidak.
“Bak kata pepatah Melayu mencegah lebih baik daripada mengubati. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi,” katanya yang menyeru rakyat di negeri ini supaya mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat. – Bernama