32 geng kongsi gelap aktif di Perak

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, perebutan kuasa antara punca pertembungan dan pergaduhan ganas yang berlaku antara kumpulan kongsi gelap ini bagi menunjukkan kekuatan ahli masing-masing.

Selain itu katanya pelajar sekolah turut terlibat malah bertindak mempengaruhi rakan sebaya untuk menyertai geng mereka.

“Berikutan itu, kita menjalankan Op Cantas Khas 2 bermula 6 hingga 19 Ogos lalu melibatkan 10 pasukan khas terdiri daripada 14 pegawai dan 62 anggota.

“Melalui risikan khas yang dilakukan dan sumber daripada orang awam kita berjaya menahan 71 lelaki termasuk seorang warga asing berusia antara 17 hingga 60 tahun atas pelbagai kesalahan jenayah.

“Daripada jumlah itu, 30 daripada mereka adalah ahli kumpulan kongsi gelap. Kesemua mereka ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi berbeza di sekitar negeri ini,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, pada Khamis.

Jelasnya antara kesalahan dilakukan termasuklah jenayah kekerasan, bunuh, cubaan bunuh, gengsterisme, samun, dadah serta memiliki senjata berbahaya.

“Secara keseluruhan seramai 535 diperiksa membabitkan 529 lelaki dan enam wanita termasuk seorang lelaki warga asing dari Mauritius atas kesalahan merusuh.

“Tiga daripada suspek yang ditahan tersenarai sebagai orang dikehendaki, seorang daripada mereka dikehendaki di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) manakala dua lagi di bawah kesalahan dadah,” ujarnya.

 

Related Articles