30 minit stabilkan merkuri tumpah di Hospital Muar

Komander Operasi Pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor, Saiful Bahri Safar berkata, dalam kejadian kira-kira 1.20 tengah hari itu, sebuah alat pengukur suhu bilik yang dipasang di dinding bilik X-ray berkenaan terjatuh dan pecah menyebabkan merkuri dalam termometer tersebut tumpah ke lantai.

“Kira-kira 10 hingga 15 milimeter merkuri dipercayai tumpah ke lantai bilik berkenaan sebelum anggota Bomba dan Penyelamat Muar bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pada pukul 1.28 tengah hari,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya mengambil tindakan membuat penstabilan tumpahan menggunakan sulfur.

“Merkuri itu kemudian diletakkan dalam bekas plastik sebelum diserahkan kepada kontraktor hospital untuk pelupusan,” katanya.

Saiful Bahri berkata, pihaknya turut memberikan khidmat nasihat kepada hospital agar terus merujuk kepada bahagian kualiti alam bagi tujuan pelupusan bahan berjadual.

“Pada masa sama, kami membuat pemerhatian bagi memastikan tiada lagi saki baki merkuri di bilik terbabit selain mengambil tindakan membuat pengudaraan dan pengepungan sebelum menamatkan operasi pukul 5.48 petang apabila diyakini selamat,” katanya. – Bernama

Related Articles