30% kerusi Gerakan terlibat dalam persempadanan semula

Justeru, timbalan presiden parti, Dr Cheah Soon Hai berkata parti itu akan menghantar bantahan secara rasmi kepada Barisan Nasional (BN) dalam masa terdekat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), parti itu bertanding dalam 11 kerusi Parlimen dan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya menang satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN.

Dr Cheah berkata usul persempadanan semula itu bukan semata-mata mengenai bangsa atau kaum tetapi soal perubahan polar pengundi sesebuah parti.

“Bayangkan, kita telah siapkan jentera pilihan raya parti di sesuatu kawasan dan apabila persempadanan semula berlaku, kita terpaksa berpindah ke kawasan baharu dan ubah kesemuanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita Parti Gerakan, di ibu negara pada Sabtu.

Mengenai kemungkinan berlaku pertukaran kerusi dengan parti komponen BN lain bagi PRU14, Dr Cheah berkata parti itu bersikap terbuka untuk perbincangan.

“Kami belum memutuskan jumlah kerusi akan ditukarkan kerana perlu melakukan banyak kerja di peringkat akar umbi. Kita harus bersepakat mengenai calon dan peluang terbaik untuk menang dan juga perlu mengambil kira kepentingan parti komponen lain,” katanya.

Katanya pertukaran dan pembahagian kerusi Parlimen dan DUN pada PRU14 itu sangat penting dalam memastikan parti itu terus kekal relevan dan bernafas dalam kancah politik negara. – Bernama

 

Related Articles