2 rakyat Malaysia ditahan cuba sertai Daesh di Syria

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang selepas mereka diusir oleh pihak berkuasa Turki semasa dalam perjalanan untuk menyusup masuk ke Syria.

“Juruteknik kilang berusia 29 tahun berasal dari Johor manakala rakannya, pembantu jurukimpal berumur 24 tahun dan berasal dari Sarawak.

“Kedua-dua mereka disyaki direkrut oleh Muhammad Wanndy Mohamad Jedi untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Khalid berkata Muhammad Wanndy, yang juga rakyat Malaysia dan menyertai kumpulan militan Daesh di Syria, aktif merekrut anggota baharu dalam kalangan rakyat di negara ini untuk kumpulan itu.

Muhammad Wanndy, yang turut merancang membunuh pemimpin negara dan pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia, dipercayai bertanggungjawab menyelaras rancangan penyusupan masuk kedua-dua lelaki itu ke Syria serta menyalurkan dana untuk membiayai kos penerbangan kedua-dua suspek, kata Ketua Polis Negara.

Katanya bagi mengelirukan pihak berkuasa, kedua-dua suspek berlepas dari Butterworth, Pulau Pinang ke Bangkok menggunakan kereta api pada 23 Oktober, sebelum menaiki pesawat untuk penerbangan Bangkok-Abu Dhabi-Istanbul.

“Penahanan kedua-dua suspek adalah hasil kejayaan pertukaran maklumat dan risikan pihak Cawangan Khas dengan pihak berkuasa Turki.

Kedua-dua lelaki ini ditahan oleh pihak berkuasa Turki pada 28 Oktober sejurus selepas mendarat di Istanbul dan diusir pulang ke Malaysia pada keesokan harinya,” katanya.

Khalid berkata kedua-dua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747). – Bernama

Related Articles