Dalam kejadian kira-kira jam 12.35 malam itu mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Presley Dexter Pius, 24, dan Marvin Geoffrey Nati Usop, 29, kedua-duanya warga tempatan, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M. Chandra dalam kenyataan semalam berkata pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan cuma mengalami kecederaan ringan dengan lebam di kaki dan tangan.
Katanya siasatan awal mendapati sebelum kejadian kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipandu dari arah lampu isyarat Batu 5 ke arah Menggatal.
Apabila tiba di lokasi kejadian, katanya kenderaan pacuan empat roda itu gagal mengelak kenderaan mangsa yang tiba-tiba membuat pusingan U lalu melanggar pintu hadapan sebelah kiri Perodua Viva berkenaan sebelum kereta itu terbakar.
Kedua-dua mangsa itu rentung selepas terperangkap di dalam kereta berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama