1MDB tidak punya aset di Amerika Syarikat

by SM Amin

1MDB dalam satu kenyataan berkata, meraka tidak mempunyai sebarang aset di Amerika Syarikat dan tidak mempunyai sebarang kepentingan atau mendapat faedah di dalam mana-mana transaksi yang dinyatakan di dalam saman sivil tersebut.

“Tambahan pula, 1MDB tidak dihubungi oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat atau mana-mana agensi asing lain yang berkaitan dengan siasatan mereka.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, 1MDB akan bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana kuasa yang sah asing, tertakluk kepada protokol antarabangsa yang mengawal perkara-perkara tersebut dan nasihat daripada pihak berkuasa yang sah dalam negara yang berkaitan,” menurut kenyataan tersebut.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada Rabu telah memfailkan tindakan undang-undang bagi merampas berpuluh-puluh hartanah yang berkait dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan lebih AS$3.5 bilion didakwa disalahgunakan daripada institusi berkenaan.

Tindakan undang-undang tersebut yang difailkan di Los Angeles bertujuan membuat rampasan aset yang ‘terlibat dalam dan boleh dikesan berhubung konspirasi antarabangsa untuk menggubal wang haram disalah gunakan dari 1MDB’.

Bagaimanapun, tiada satupun daripada tindakan undang-undang tersebut menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Namun, tindakan tersebut menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz sebagai ‘individu berkaitan’ dalam kes itu. Mereka juga menamakan pembiaya Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low serta pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al- Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al- Husseiny.

Related Articles