1MDB: Tidak perlu sidang parlimen tergempar

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul berkata, ini kerana isu 1MDB bukan sesuatu yang baru dan kerajaan sudah pun mengambil langkah yang sewajarnya untuk memperbaiki kelemahan pengurusan dan tadbir urus syarikat pelaburan strategik itu.

“Siasatan isu 1MDB ini sudah pun merupakan siasatan paling intensif, jadi saya tidak fikir semua ini perlu,” katanya ketika merasmikan Taklimat Ekonomi Kebangsaan anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Selasa.

“Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhak lakukan siasatan tersebut, kerana dakwaan penyelewengan dana dan penggubahan itu berlaku di negara mereka,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Johari turut menafikan 1MDB berurusan dengan individu-individu yang dinamakan dalam laporan DOJ.

“1MDB tiada sebarang urusan dengan individu-individu di dalam laporan tersebut, buat masa ini kami hanya berurusan dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) (mengenai isu pertelingkahan pembayaran faedah bon),” katanya.

Beliau menambah, Kementerian Kewangan merancang untuk membawa pertikaian tersebut ke Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London.

“Kerajaan tidak akan melindungi sebarang individu yang didapati bersalah dalam hal 1MDB ini, tidak kira apa kesalahan yang mereka lakukan atau di mana saja ia dilakukan,” katanya.

Tanpa memberi sebarang maklumat lanjut, beliau juga berkata pihak kerajaan telah pun menerima dana hasil penjualan aset tenaga 1MDB kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN).

Pada Novermber 2015, 1MDB mengumumkan perjanjian jual beli saham dimeterai dengan CGN bagi membolehkan ia menerima RM9.3 bilion, di samping pengambilalihan hutang sebanyak RM7.43 bilion. –Astro Awani 

Related Articles