1MDB: Pegawai SPRM mengaku keluarkan dokumen, anggap tidak relevan

KUALA LUMPUR: Saksi pendakwaan ke-49 prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengaku tidak menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes itu kerana menganggap ia tidak relevan.

Dokumen-dokumen yang dimaksudkan itu diperoleh daripada dua negara dan difahamkan berkaitan perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dokumen itu termasuk transaksi dan kenyataan bank dikaitkan dengan 1MDB serta akaun peribadi Najib, kata Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin.

Nur Aida yang juga pegawai SPRM yang menyiasat kes 1MDB itu mengaku menerima dokumen dalam bentuk cakera padat (CD) dan juga salinan (hard copy).

Bagaimanapun ketika sesi soal balas antara saksi pendakwaan itu, Nur Aida dan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dokumen-dokumen itu datang daripada Hong Kong dan Switzerland melalui Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA).

Shafee:Mengapa tidak berikan dokumen-dokumen ini kepada pembelaan untuk kami semak?

Aida: Saya anggap ia tidak relevan. Saya juga ada taklimatkan kepada pasukan pendakwaan dan mereka bersetuju bahawa ia tidak relevan untuk siasatan ini.

Shafee: Maknanya anda ada berbincang tentang dokumen-dokumen ini dengan pendakwaan dan putuskan tidak perlu beri kepada pembelaan kerana tidak relevan?

Aida: Pendakwaan bersetuju ianya tidak relevan.

Shafee:Apa jadi dengan dokumen-dokumen ini?

Aida: Ia ada dalam simpanan saya.

Shafee:Jadi anda keluarkan daripada dokumen yang berikat?

Aida: Ya betul. Saya telah semak dengan pendakwaan dan mereka bersetuju ia tidak relevan.

Dalam pada itu, Aida juga mendedahkan telah menerima dokumen daripada Switzerland sebanyak enam kali bermula 28 Januari 2019.

Prosiding ketika ini bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette

Related Articles