1MDB: Bekas pekerja Bank BSI dihukum penjara 30 bulan

Yeo Jiawei dituduh mengganggu saksi penting dalam siasatan Singapura berhubung tuduhan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB.

Yeo menggesa tiga saksi untuk berbohong kepada penyiasat dan memusnahkan bukti yang akan mengheret dirinya.

Pendakwa berkata Yeo memainkan peranan penting dalam gerakan haram S$23.9 juta (RM74 juta) daripada dana dikaitakan dengan 1MDB semasa bekerja di Bank BSI Singapura.

Yeo berulang kali menafikan sebarang salah laku semasa perbicaraan selama sebulan itu.

Pihak berkuasa Singapura menggelar siasatan 1MDB berkaitan kes pengubahan wang haram paling kompleks, canggih dan terbesar pernah mereka kendalikan.

Bank pusat Singapura pada Mei mengarahkan penutupan operasi di cawangan bank Switzerland di negara itu dan meminta Jabatan Peguam Negara menyiasat enam pengurusan kanan dan kakitangan.

Dua bekas kakitangan BSI lain didapati bersalah dan dihukum atas tuduhan yang berpunca daripada penyiasatan pengubahan wang haram dikaitkan dengan 1MDB.

Switzerland memulakan prosiding jenayah terhadap bank, dalam siasatan antarabangsa terbesar ke atas entiti kewangan yang berurusan dengan 1MDB

Yeo berhadapan tujuh lagi pertuduhan berasingan, termasuk pengubahan wang haram, penipuan dan pemalsuan, yang dikatakan akan dibicarakan tahun depan.

Pendakwa raya berkata beliau “kemungkinan berhadapan lebih banyak pertuduhan”.

Diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang sebelum ini menjadi pengerusi lembaga penasihat, 1MDB menjadi subjek siasatan pengubahan wang haram di sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Najib menafikan sebarang salah laku dan berkata Malaysia akan bekerjasama dengan siasatan antarabangsa. -Tamil Malar

Related Articles