Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, diketuai Asisten Superintendan Zahirudin Baharom, selepas penyamaran mendapati wujud aktiviti pelacuran di premis terbabit.
Zahirudin berkata, semua wanita terbabit terdiri daripada lima warga negara Vietnam, empat warga negara China, seorang Mongolia dan lima lagi adalah wanita tempatan.
Katanya, semua mereka ditahan dalam 10 bilik berasingan. Turut ditahan adalah seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun, yang berperanan sebagai penjaga premis dan seorang wanita tempatan berusia 53 tahun, yang bekerja sebagai juruwang.
Tangkapan turut dibuat ke atas dua lelaki yang disyaki kapten di premis itu dan dua pekerja spa lelaki warga Bangladesh serta empat pelanggan.
“Sebelum serbuan, dua anggota diarahkan untuk melakukan penyamaran sebagai pelanggan di premis berkenaan.
“Selepas 20 minit, anggota memaklumkan terdapat aktiviti pelacuran di premis itu membabitkan wanita warga asing dan tempatan.
“Ketika serbuan, penjaga di kaunter gagal mengemukakan lesen perniagaan. Anggota seterusnya melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik dan menemui 10 wanita warga asing dan lima tempatan dipercayai pelacur berada dalam bilik bersama pelanggan, selain di bilik pekerja yang dijadikan ruang menunggu,” katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan itu juga pihaknya turut merampas wang tunai RM3,591; lapan keping resit bayaran, tiga keping kad perakam waktu kerja, dua keping kertas putih catatan kerja harian dan satu unit walkie talkie serta kondom dan tiub pelincir.
Katanya, tangkapan dibuat mengikut Akta Anti Pemerdangangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah serta menjalankan perniagaan tanpa lesen. – BH Online