Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berhubung misi Women’s Boat To Gaza (WBG).
“Semua anak kapal termasuk Dr Fauziah disahkan selamat dan tiba di Pelabuhan Ashdod dekat sempadan Israel pada pukul 12 tengah malam waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia),” katanya pada sidang media, Khamis.
Kapal itu, yang dalam perjalanan menuju ke Gaza, ditahan pada pukul 2.58 petang waktu tempatan (7.58 malam waktu Malaysia).
Menurut Hafidzi, tiada sebarang senjata dibawa dalam misi yang dilakukan secara aman, mahupun bahan yang boleh dianggap provokasi oleh tentera Israel.
Sehubungan itu, beliau mendesak Israel supaya membebaskan kesemua ahli misi dan anak kapal Zaytouna-Olivia dengan kadar segera.
Katanya, Israel tidak berhak menahan ahli misi kerana mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Kita menggesa kerajaan Malaysia selaku anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk membawa usul tergempar mengecam tindakan Israel merampas kapal Zaytouna-Olivia di perairan antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, gesaan turut dibuat ke atas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggunakan semua peruntukan yang ada untuk menjamin keselamatan kesemua ahli misi dan anak kapal sehingga mereka dibebaskan dan pulang, memetik laporan mStar Online.