Taib Mahmud Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak paling lama berkhidmat, Tun Abdul Taib Mahmud meninggal dunia di ibu negara awal pagi ini.

Perkembangan terkini itu disahkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Allahyarham Taib yang menjadi Ketua Menteri bermula tahun 1981 hingga 2014 juga pernah berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri bumi Kenyalang.

Selepas berada dalam keadaan uzur buat beberapa lama, beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.28 pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 87 tahun meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara.

Pemergian beliau juga disahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kepada Astro Awani.

Difahamkan, pengurusan jenazah Taib akan dilakukan di Masjid Negara, sebelum diterbangkan ke Kuching, Sarawak.

Abdul Karim seperti dipetik portal Dayak Dailyberkata, upacara pengebumian akan dilakukan dengan penuh istiadat di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak Baru.

Pemergian Allahyarham menamatkan segala spekulasi dan desas-desus mengenai tahap kesihatan beliau, seperti yang kerap dilaporkan media kebelakangan ini.

Semalam, isteri Taib, Toh Puan Raghad Kurdi Taib menerusi hantaran di Insta Story menafikan suaminya berada dalam keadaan kritikal.

“Saya baru-baru ini dimaklumkan mengenai sebuah laporan atas talian mengenai sekeping foto didakwa sebagai suami saya, Tun Taib yang dikatakan sedang kritikal.

“Saya mahu mengesahkan itu bukan foto beliau, tetapi individu lain yang juga sedang menerima rawatan,” katanya.

Dikenali sebagai Bapa Pemodenan Sarawak, Taib melakar sejarah yang cukup besar untuk Bumi Kenyalang.

Pentadbirannya berhasil mengubah negeri itu menjadi antara negeri maju di Malaysia. -Getaran

Related Articles