12 ahli kongsi gelap ‘Geng 21’ ditahan di bawah POCA

Dalam operasi selama 15 jam yang diketuai Ketua Unit Pencegahan Kongsi Gelap, Deputi Superintendan Shan Gopal, polis turut menahan penolong kepada ketua kumpulan itu yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan dua lelaki di Kuala Selangor, pada tahun 2002.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Anti Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata semua individu berusia antara 20 hingga 46 tahun itu ditahan selepas polis membuat pemantauan dan risikan sejak tiga bulan lalu.

“Berdasarkan hasil risikan yang dilakukan, kegiatan utama kumpulan ini adalah melakukan pemerasan, bergaduh dengan kumpulan atau individu lain, mencederakan orang awam selain turut merekrut ahli baru dalam kumpulan mereka.

“Setakat ini semua mereka direman selama 21 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA), bermula hari ini,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata Bahagian D7 akan terus mempergiatkan usaha bagi membanteras elemen gangsterisme dan kongsi gelap demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

Related Articles